Aku berkeyakinan bahawa kemenangan dalam Islam itu adalah
apabila manusia masuk islam; manusia dekat dengan Islam; manusia mengatakan
Islam adalah agama indah; manusia melihat Islam berjaya memberikan hidup mereka
bahagia. Manusia yang aku maksudkan adalah, manusia yang merangkumi muslim dan
tidak muslim; bangsa melayu, cina, india, arab dan seluruhnya.
Aku berkeyakinan sebegitu kerana mengenangkan firman Allah
dalam ayat pertama dan kedua dari Surah al-Nasr bahawa Allah SWt sendiri
menyatakan bahawa apabila datang pertolongan dan kemenangan, kita akan lihat
manusia akan masuk kepada Islam itu berbondong-bondong.
Adapun kekuasaan pemerintah, ia diberikan berasaskan sebagai
hadiah dari Allah SWT. Dengan maksud, jika ia mahu diberikan oleh Allah, maka
Allah akan berikan. Dan jika tidak diberi pun, ia juga dibawah kehendak Allah
SWT. Ia berasaskan kepada ayat 26 dari surah ali-Imran.
Makanya, tugas umat Islam adalah berusaha untuk diberikan
pertolongan oleh Allah SWT. Iaitu, berusaha melaksanakan keadilan dan
kebajikan, memberikan hak kepada manusia, menyuruh makruf dan melarang dari
berlaku kemungkaran. Ia berasaskan kepada surah al-Nahl, ayat 90.
Makanya, kekalahan yang telah menimpa kepada sesebuah
kerajaan yang diperintah oleh orang islam, sewajarnya perlu dilihat faktor
keadilan dan kebajikan ini; faktor orang semakin melihat Islam sebagai rahmat
semasa kita memerintah, atau orang semakin menjauhkan diri dari Islam apabila
melihat kita memerintah.
Kalau di kalangan orang islam yang mendakwa diri sebagai
pendokong gerakan Islam pun boleh melakukan khianat, sudah pasti ia mempamerkan
keburukkan dari sudut pandangan manusia terhadap Islam yang dibawa. Makanya
tidak hairan, keadaan itu memberikan keputusan yang malang dan menyedihkan
kepada golongan yang membawa panji perjuangan islam.
Wallahu ‘alam..
No comments:
Post a Comment