Saturday, 14 April 2018

ISU "LA IKRAHA FI AL-DIN" DALAM KENANGAN

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin

Apabila tercetus isu "la Ikraha fi al-Din", amat kelihatan bagaimana isu Islam dipolitikkan sedemikian rupa. Sedikit sebanyak, kita dapat lihat bagaimana ayat ke 256, Surah al-Baqarah yang dimainkan sedemikian rupa oleh media.

Peringkat awal, saya ikuti isu ini melalui pembacaan di akhbar dan media. Amat kelihatan kejahatan sebilangan muslim sehingga  seakan-akan mereka tidak dapat menilai antara kebenaran dan persepsi politik. Spin media BN terhadap kenyataan YB Nurul Izzah itu begitu teruk, sehinggakan mereka seakan-akan tidak merasa berdosa mempolitikkan ayat suci Al-Quran tersebut.

***

YB Nurul Izzah menelefon untuk mendengar pandangan dan nasihat saya terhadap isu ini. Saya bertemu dan bertanya berkenaan dengan isu ini terus dari beliau.

Mendengar dari luahan hati dan penjelasan beliau, saya merasa pelik, bagaimana media amat tidak punyai maruah bermain dengan ayat Al-Quran demi kepentingan politik, sehinggakan dijadikan alasan untuk memburukkan imej YB Nurul Izzah. Ini kerana, apa yang dipermainkan di media BN ketika itu, ternyata amat jauh dengan apa yang diungkapkan oleh beliau.

Mungkin beliau seorang ahli politik yang telah berjaya mengalahkan dua tokoh besar dalam parti UMNO di Parlimen Lembah Pantai, disamping bapa beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang individu ahli politik yang amat digeruni musuh; atas kemungkinan itu serangan sebegitu hebat dilancarkan kepada beliau.

Mendengar cara beliau bertanya dan menjawab soalan yang saya kemukakan, saya dapati beliau seorang pengamal agama Islam yang baik, malahan tidak mengabaikan kepentingan agama dalam hidup dan keluarganya.

***

Isu ini bermula dari satu forum yang melibatkan beliau di salah sebuah gereja di Kuala Lumpur. Dalam forum yang dihadiri oleh majoriti penganut agama Kristian, beliau telah menyatakan bahawa menerusi ayat ke 256, Surah al-Baqarah, al-Quran menjelaskan bahawa Islam tidak memaksa untuk orang bukan Islam menganut agama Islam, kerana telah nyatalah antara kebenaran dari kebatilan. Dengan ungkapan ayat al-Quran tersebut, media BN spin kenyataan beliau sehingga amat jauh berbeza dengan apa yang diungkapkan oleh beliau. Spin media Itu menampilkan kononnya beliau pro kepada murtad.

Menurut penjelasan YB Nurul Izzah lagi,  tujuan beliau ke gereja tersebut dengan hasrat mahu menyatakan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan konsep kualiti dalam keimanan di dalam hati. Pemaksaan terhadap orang bukan Islam kepada agama Islam, tidak melahirkan keimanan yang sebenar.

Malahan, YB Nurul Izzah turut menyatakan bahawa pemahaman beliau itu merujuk kepada kupasan dua orang ulama yang besar dan terkenal, iaitu Syaikh Ahmad al-Raisuni, Syaikh Rashid Redha malahan beliau pernah mengkhatamkan membaca buku "tiada paksaan dalam agama" tulisan seorang ulama hebat bernama Syaikh Dr Taha Jabir al-'ulwani. Terutama, Syaikh  Taha Jabir dan keluarga beliau mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehinggakan kedua-dua anak YB Nurul Izzah itu pun, nama mereka diberikan oleh Syaikh Dr Taha Jabir.

Secara peribadi saya mengakui apa yang dinyatakan oleh YB Nurul Izzah, kerana saya sememangnya telah membaca kupasan tentang ayat 256, Surah al-Baqarah dari ketiga-tiga tokoh ulamak besar ini.

Apabila ditanya berkenaan dengan orang murtad, cara beliau menjawab dan memberikan penjelasan, amat jelas bahawa beliau tidak menyukai orang Islam keluar dari agama Islam, malahan beliau bertanya apakah mekanisme atau cara yang baik andai berjumpa dengan orang yang mahu murtad.

Jelas, beliau bukan seorang yang difitnah oleh media sebagai Pro murtad, sebaliknya beliau adalah orang yang amat mementingkan usaha mengukuhkan keimanan orang Islam, dan mempunyai hasrat yang besar dan bergembira jika ada orang bukan Islam mahu memeluk agama Islam.

****

Rupa-rupanya, permainan dan spin media terhadap kenyataan YB Nurul Izzah itu membawakan sebilangan individu tertentu telah melaporkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kesan dari itu, pihak YB Nurul Izzah telah dipanggil pihak JAIS untuk dilakukan siasatan.

Disamping peguam Syariah yang merupakan Naib Presiden ABIM, Fadhlina Siddiq, YB Nurul Izzah turut menjemput saya untuk hadir sama dalam siasatan itu. Saya menerima jemputan tersebut dan berhasrat untuk berhujah di pihak YB apabila perkara itu dibangkitkan ada kaitan dari sudut perbahasan Islam.

Apabila sampai kepada tarikh yang di janjikan, awal pagi saya sudah bertolak ke bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Saya sampai awal. Saya ke Masjid Negeri terlebih dahulu. Saya telah menunaikan perkara yang wajar saya lakukan di masjid, kemudiannya saya mahu  melelapkan mata sekejap.

Tidak sempat mata saya terlelap, tiba-tiba handphone saya berbunyi dan termaktub nama "YB Nurul Izzah" di skrin handphone saya.

"Ustaz di mana?", Soal YB Nurul Izzah.

Saya menyatakan bahawa saya berada di Masjid Negeri, berbaring-baring dan tidak sempat untuk melelapkan mata.

Beliau menyatakan bahawa beliau sudah sampai. Mendengar itu, saya terus nyatakan bahawa saya terus bergegas ke bangunan Jabatan Agama Islam yang berada di seberangan jalan dengan Masjid Negeri.

***

Kami disambut oleh staff di Jabatan Agama Islam. Sebelum sesi siasatan dilakukan, kami dijamu dengan bihun goreng. Rupa-rupanya, ramai orang yang bekerja di Jabatan Agama Islam Selangor itu mengenali saya. Mereka menegur dan bertanya khabar. Kelihatan juga sebilangan muslimat yang bekerja di Jabatan agama Islam bergambar bersama dengan YB Nurul Izzah.

Ketika kami sedang sarapan, seseorang telah datang berjumpa dengan YB Nurul Izzah menyatakan yang dibenarkan untuk masuk dalam sesi siasatan hanya dua orang sahaja. Mendengar itu, peguam Syariah Fadhlina Siddiq meminta agar beliau mengundurkan diri, dan meminta saya dan YB masuk dalam dewan untuk siasatan.

Saya berbisik kepada YB agar membenarkan tiga orang masuk dalam dewan siasatan. YB pun memohon kepada individu terbabit, dan dia telah masuk ke dalam suatu bilik. Tidak lama kemudian, dia  datang dan menyatakan bahawa pihak JAIS  membenarkan kami bertiga hadir dalam dewan untuk sesi siasatan.

***

Dalam sesi siasatan, kelihatan yang hadir lima orang wakil dari jabatan mufti Selangor dengan dipengerusikan oleh pengarah JAIS ketika itu.
Pertemuan itu dibuka oleh pengerusi  dengan meminta agar YB Nurul Izzah memulakan penjelasan terhadap dakwaan yang telah diberikan kepada beliau.

YB Nurul Izzah menjelaskan bahawa beliau bersetuju untuk hadir ke gereja setelah dijemput. Sebagai seorang Muslim, menjadi  bertanggungjawab baginya menampilkan Islam sebuah agama yang hebat.

YB Nurul Izzah turut menyatakan juga, apa yang beliau sampaikan itu berasaskan rujukan beliau kepada dua tokoh ulamak hebat dalam dunia, Syaikh Dr Ahmad al-Raisuni dan Syaikh Rashid Redha, disamping membaca kenyataan kedua-dua ulama tersebut yang telah diterjemah ke dalam bahasa melayu. Beliau turut menyebut nama Dr Taha Jabir al-Alwani.

Setelah YB Nurul Izzah memberi penjelasan. Salah seorang wakil Jabatan Agama Islam, seorang yang mempunyai PhD dan pensyarah di salah sebuah universiti di Malaysia memberi komentar. Malahan mendakwa bahawa tesis Phd beliau adalah berkaitan dengan perbahasan "La Ikraha fi al-Din".

Dalam komentar, beliau menyatakan bahawa pandangan yang dikemukakan oleh YB Nurul Izzah bersesuaian di negara barat, tetapi tidak sesuai di negara yang mempunyai bilangan Muslim yang majoriti seperti Malaysia.

Lebih melucukan apabila beliau menyatakan bahawa beliau mengenali ulamak yang bernama Syeikh Rashid Redha, tetapi tidak mengenali Syaikh Ahmad al-Raisuni.

Saya meminta laluan untuk memberi respon terhadap komentar dari pensyarah terbabit. Respon Saya adalah seperti berikut;

Pertama, saya menyatakan amat pelik apabila pensyarah terbabit boleh menyatakan bahawa pandangan itu sesuai dikemukakan di negara barat di era moden ini. Ini kerana di era ini maklumat mudah didapati di hujung jari, iaitu melalui Internet.

Kedua, saya menolak pandangan pensyarah itu yang menyatakan bahawa apa yang diungkapkan oleh YB Nurul Izzah itu hanya sesuai di negara barat, kerana ucapan YB Nurul Izzah berlaku di gereja yang majoriti hadirinnya adalah orang bukan Islam yang beragama Kristian. Sudah pasti apa yang diperjelaskan oleh YB Nurul Izzah itu amat bersesuaian, malahan mempunyai elemen dakwah; menampilkan watak Islam yang baik di hadapan mereka.

Ketiga, saya amat terkejut apabila seorang pensyarah universiti yang mengkaji berkenaan "la ikraha fi al-din", tetapi boleh tidak mengenali ulama sehebat Dr Ahmad al-Raisuni. Ini kerana, beliau merupakan salah seorang Naib Presiden bagi Kesatuan ulama antarabangsa yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Keempat, saya dapati kupasan daripada pensyarah tersebut tidak bermuarakan kepada rujukan kitab-kitab yang muktabar, sebaliknya kelihatan seperti kupasan yang datang dari diri pensyarah itu sendiri sahaja.

***

Dipendekkan cerita, respon yang saya berikan seakan-akan mengkritik, ternyata menjadi keadaan agak panas. Keadaan itu, pengarah JAIS yang mempengerusikan siasatan meminta keadaan ditenangkan dan menyatakan bahawa pertemuan pada hari itu adalah pertemuan "adik-beradik".

Tidak semena-mena, ada seorang Ustaz yang agak berumur berkata, bahawa jika YB Nurul Izzah merasakan diri telah bersalah, maka bertaubatlah kepada Allah.

Saya terus menyampuk, dengan menyatakan bahawa sewajarnya yang bertaubat adalah pihak ustaz itu, bukan di pihak YB Nurul Izzah. Ini kerana, Ustaz itu  mengatakan kemungkinan YB Nurul Izzah itu bersalah berdasarkan sumber dari Utusan Malaysia yang spin kenyataan YB Nurul Izzah.

Malahan saya juga menyatakan, sewajarnya pihak JAIS bukan semata-mata memanggil YB Nurul Izzah sahaja, sebaliknya wajar menjemput sama wakil dari Utusan Malaysia untuk memastikan dakwaan dan fitnah yang dibawa oleh akhbar terbabit.

Sekali lagi pengerusi majlis meredakan keadaan dan mengulangi mengatakan bahawa pertemuan itu adalah pertemuan "adik beradik". Dan tidak lama kemudian, majlis itu berakhir.

***

Selepas selesai, ada sedikit jamuan makan. Memandangkan pada hari itu adalah hari Jumaat, kebanyakkan ustaz-ustaz yang akan berkhutbah Jumaat agak cepat bergegas meninggalkan bangunan Jabatan Agama Islam, kecuali beberapa orang sahaja yang masih lagi berbual dengan kami.

Saya semeja dengan Ustaz Jais Kamus, yang merupakan adik kepada Ustaz Ismail Kamus. Dalam perbualan kami, Ustaz Jais bercerita berkenaan dengan anaknya yang belajar di negara barat. Beliau menyatakan keperluan bagi umat Islam di Malaysia didedahkan dengan Fiqh Minoriti dan perlu ada penulisan tersebut, terutama wujud dari  kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang bakal melanjutkan pelajaran ke negara-negara barat.

Saya menyatakan, sebenarnya tulisan berkenaan dengan Fiqh minoriti itu telah ditulis oleh ulamak yang hebat. Antara yang telah menulis perkara ini adalah Dr  Yusuf al-Qaradawi. Juga saya nyatakan kepada Ustaz Jais kamus, saya secara peribadi telah membaca kitab fiqh minoriti (Fiqh Aqalliyat) karya Al-Qaradawi itu dalam tahun 2007 lagi.

Memandangkan hari itu hari jumaat, kami tidak dapat berbual lama kerana kami perlu bergegas menunaikan solat jumaat pula. Tidak lama kemudian, kami pun bersurai.

Wallahu A'lam.

1 comment: