PENDAHULUAN
Al-Qaradawi menyatakan bahawa beliau melihat kepentingan
mencapai kebebasan didahulukan berbanding perlaksanaan syariah. Dalam ungkapan
yang lain pula, sekali lagi al-Qaradawi menyatakan bahawa sebelum perlaksanaan
syariah, perkara yang perlu dilakukan adalah memberi makan kepada rakyat yang
lapar, menyediakan peluang pekerjaan, menyediakan pendidikan dan sebagainya. Ungkapan beliau ini gagal difahami
oleh ramai tokoh ilmuan, sehinggakan ada yang menuduh bahawa ungkapan beliau
itu sebagai ungkapan kekufuran.
Justeru, article ringkas ini menerangkan serba ringkas
tentang satu penanggapan terhadap gaya berfikir al-Qaradawi, agar kelihatan
jelas bahawa tuduhan bahawa al-Qaradawi mengungkapkan itu sebagai ungkapan
kekufuran adalah tuduhan yang tidak punyai asas ilmiah.
TUJUAN SYARIAH
Kehadiran syariah itu adalah untuk
memastikan kehidupan manusia berada dalam kebahagiaan. Kebahagiaan yang
ditawarkan oleh syariah, bukan sekadar di akhirat, malahan memberi
kebahagiaan di dunia sama. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT bahawa
disamping mencari pemberian Allah di akhirat, Islam melarang dilupakan pula
tentang pemberian Allah di dunia.
Kehadiran syariah, memberikan suluhan
jalan kehidupan manusia di dunia agar berjumpa dengan kebaikan dan kemaslahatan.
Ekoran itu, penurunan syariat menerusi wahyu hendaklah difahami dalam kerangka
yang betul, agar pemahaman itu tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia.
Dalam memahami syariah itu pula, ia
memerlukan kepada ijtihad, iaitu menghabiskan segala kemampuan oleh
orang yang berkelayakkan dari sudut keilmuan atau mujtahid dalam memahami nas
syarak terhadap hukum-hukum syarak. [Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin
Muhammad al-Tusi, (505 H). 1413H/1993. Al-Mustasfa
fi Ilm al-Usul. jld 2, hlmn 550, Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah]
Berbagai-bagai bentuk ijtihad yang
disebut oleh ulama-ulama yang muktabar. Al-Syafie membataskan ijtihad itu
dalam perkara qiyas sahaja. Dalam al-Risalah menyatakan; “Berkata,
Apa itu Qiyas, apakah ia ijtihad atau ia ada dua perkara yang berbeza?. Aku
berkata, “Ia adalah dua nama bagi satu makna” [Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh al-Islami. jld 2, hlmn
1068, Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik: Dar al-Fikr. Tarikh : 2001.
: Al-Syafie, Abu Abd Allah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Osman bin Syafi’
bin Abd al-Muttalib bin Abd Manaf al-Mutallabi al-Qurashi,. Al-Risalah. hlmn 476, Mesir: Maktabah
al-Halabi. Tarikh : 1940]
Dalam kalangan ulama-ulama lain, mereka
menyatakan bahawa ijtihad ini merangkumi kepada al-Ra’y, al-Qiyas
dan akal. Al-Ra’y yang dimaksudkan adalah amalan yang dilihat oleh mujtahid
sebagai maslahah dan perkara lebih hampir kepada roh pensyariatan islam
tanpa melihat di sana ada asal tertentu terhadap sesuatu kejadian atau tidak.
[Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh
al-Islami. jld 2, hlmn 1068, Beirut:
Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik: Dar al-Fikr. Tarikh : 2001]
Al-Qaradawi pula ada menyebut tentang dua
bentuk Ijtihad; Pertama, al-Ijtihad al-Intiqa’I, iaitu ijtihad
yang dilakukan dengan cara memilih pendapat ulama terdahulu yang dipandang
sesuai dan lebih kuat. Yang kedua, al-ijtihad al-insya’i, iaitu
mengambil kesimpulan hukum baru dalam sesuatu permasalahan, di mana
permasalahan tersebut belum pernah dikemukakan oleh ulama terdahulum baik
masalah itu baru atau lama. Kedua-dua ijtihad ini digabungkan untuk ditambahkan
dalam pendapat tersebut unsur-unsur ijtihad baru. [al-Qaradawi, Ijtihad
dalam syariah islam, hlmn 150 dan 169 : Al-Qaradawi, Abd Allah Yusuf. Fi Fiqh al-Aqalliyat al-Muslimah, Hayah
al-Muslimin wasath al-Mujtama’at al-Ukhra, hlmn 47, Jakarta:
Penerbit Zilrul Hakim. Tarikh : 2004]
Sebilangan ulama pula mengklasifikasikan ijtihad
itu kepada tiga bentuk; pertama, al-Ijtihad al-Bayani, iaitu penjelasan
hukum-hukum syarak dari nas-nas syarak. Kedua, al-Ijtihad al-Qiyasi,
iaitu meletakkan hukum syarak bagi realiti-realiti yang berlaku. Realiti
tersebut tidak tersebut dalam al-Quran dan al-Sunnah. Menggunakan kaedah qiyas
atau perbandingan dengan apa yang ada dalam nas-nas syarak dari hukum-hukum.
Ketiga pula adalah al-Ijtihad al-Istislahi, iaitu meletakkan hukum-hukum
syarak kepada realiti-realiti yang berlaku, yang juga tiada dalam al-Quran dan
al-Hadis dengan dibina atas kaedah istislah, iaitu sesuatu bentuk
ijtihad untuk menemukan hukum yang didasarkan pada kemaslahatan yang tidak
disebut secara tegas dalam nas. [Al-Zuhaili, Wahbah. Usul al-Fiqh al-Islami. jld 2, hlmn 1069, Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir & Damsyik:
Dar al-Fikr. Tarikh : 2001: Riyanta, dkk. Neo
Usul Fiqh : menuju ijtihad kontekstual. hlmn 284, Jogjakarta: Fakultas
syariah Press. Tarikh : 2004]
Dari sudut perbahasan pula, kalimah Ijtihad
(اجتهاد) dari sudut bahasa berasal dari kalimah ja-ha-da (جهد) dengan mengikut timbangan if-ti-‘al
(افتعال) yang memberi maksud mubalaghah atau berlebih dalam
perbuatan. Dari sudut bahasa, ia memberi maksud mencurah segala kemampuan dalam
segala perbuatan. [Riyanta, dkk. Neo Usul
Fiqh : menuju ijtihad kontekstual. hlmn 283, Jogjakarta: Fakultas syariah
Press. Tarikh : 2004]
Dalam Lisan al-Arab, dinyatakan bahawa ijtihad
dan tajahud (تجاهد) adalah menghabiskan segala kemampuan dan
usaha. Ia merujuk kepada hadis Muaz bin Jabal yang berkata; “Aku berijtihad
dengan pandanganku”. Dengan maksud, ijtihad adalah menghabiskan
segala kemampuan dan kekuatan oleh hakim dengan menggunakan cara qiyas
atau perbandingan dengan al-Kitab dan al-Sunnah, bukan dengan merujuk kepada
pandangannya dirinya sendiri tanpa ditanggungjawabkan kepada al-Kitab dan
al-Sunnah. [Ibn Manzur, Jamal al-Din Muhammad Bin Mukram al-Afriqi, Lisan al-Arab,
jld 3, hlmn 135, Bairut, Dar Sadir li al-Tabaah wa al-Nasyr. Tarikh : 1955]
Makna ijtihad dari sudut istilah,
terdapat berbagai-bagai definisi. Antaranya adalah sepertimana yang
didefinisikan oleh al-Imam al-Ghazali dengan kata beliau, “Menghabiskan segala kemampuan oleh orang yang
berkelayakkan dari sudut keilmuan atau mujtahid dalam menuntut ilmu berkaitan
hukum-hukum syariah”[
Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi, (505 H), Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul. hlmn 342,
Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Tarikh : 1993]
Al-Imam al-Syatibi pula mendefinisikan ijtihad
dengan kata beliau, “Mencurahkan
keluasan dalam menghasilkan ilmu atau menghasilkan zan terhadap hukum. [Al-Syatibi, Ibrahim bin Musa bin
Muhammad al-Lukhmi al-Gharnati (790 H), al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah,
jld 5, hlmn 51, Dar Ibn Affan – Saudi. Tarikh : 1992]
Abd Allah Darraz menyatakan bahawa ijtihad
itu adalah, “Mencurahkan kemampuan dan sehabis daya, sama ada untuk mengetahui hukum syara’
atau dalam mengadaptasikan hukum syara’ tersebut” [Al-Darraz, Abd Allah al-Dimyati, tanpa tarikh, al-Muwafaqat
Fi Usul al-Syariah li Abi Ishaq al-Syatibi (wa’alaih Syarh Jalil), jld 5, hlmn 11, Mesir, Dar al-Fikr al-‘Arabi.
Tanpa tarikh]
Menurut Ibn Hazm, beliau mendefinisikan
ijtihad dari sudut yang umum dengan kata beliau, “Ia adalah menggunakan sehabis-habis kemampuan dalam
mendapatkan sesuatu yang diharapkan untuk mengetahuinya, sekira-kira ia
diharapkan tercapai atau sememangnya boleh sampai kepadanya” [Al-Zahiri, Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Said
bin Hazm al-Andalusi al-Qurtubi, Al-Ihkam
fi Usul al-Ahkam. jld 8,
hlmn 133, Beirut:Dar al-Afaq al-Jadidah. Tanpa tarikh]
Sedangkan definisi
ijtihad dari sudut syariah pula, Ibn Hazm berkata, “Ijtihad dalam syariat adalah menggunakan
sehabis-habis kemampuan dalam mendapatkan hukum yang berlaku sekira-kira
didapati wujud hukum tersebut. [Al-Zahiri, Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Said bin Hazm
al-Andalusi al-Qurtubi, Al-Ihkam fi Usul
al-Ahkam. jld 8,
hlmn 133, Beirut:Dar al-Afaq al-Jadidah. Tanpa tarikh]
Al-Imam al-Baidhawi pula mendefinisikan ijtihad
dengan kata beliau, “Menghabiskan segala kemampuan yang ada dalam memahami hukum-hukum syarak. [Sya’ban Muhammad bin Ismail, Tahzib Syarh
al-Isnawi ‘Ala Minhaj al-Wusul Ila Ilm al-Usul li al-Qadhi al-Baidhawi, jld
2, hlmn 232, Mesir, al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath. Tanpa tarikh]
Al-Imam Ibn Rusyd al-Hafid mendefinisikan ijtihad
itu dengan kata beliau, “Menghabiskan
oleh mujtahid kemampuannya dalam mendapatkan sesuatu dengan alat-alat yang
disyaratkan. [Ibn Rushd al-Hafid, Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin
Muhammad bin Ahmad bin Rushd al-Qurtubi, Al-Dharuri
fi Usul al-Fiqh atau Mukhtasar al-Mustasfa. hlmn 137, Beirut: Dar al-Gharb
al-Islami. Tarikh : 1994]
al-Duraini pula
mendefinisikan ijtihad dengan kata beliau, “Ia adalah menghabiskan
kemampuan akal menerusi bakat yang mendalam bagi mengeluarkan hukum syarak
berbentuk amali yang diceduk dari syariat, secara nas dan juga roh. Juga
melihat secara mendalam dalam mengadaptasikannya berdasarkan pancaran
kaedah-kaedah usul yang terhasil dari keistimewaan bahasa, kaedah syarak atau
ruhnya secara umum dalam pensyariatan” [Al-Duraini, Fathi, al-Manahij al-Usuliyyah Fi al-Ijtihad bi
al-Ra’y Fi al-Tasyri’ al-Islami, hlmn 16-17, Syria, al-Syarikah
al-Muttahidah Li al-tawzi’. Tarikh : 1985]
Dari definisi-definisi ijtihad yang
dikemukakan ini, dapat disimpulkan bahawa perkara ijtihad itu adalah melakukan
usaha yang bersungguh-sungguh dalam membongkar kandungan nas. Bukan sekadar
itu, malahan ijtihad perlu dilihat dari sudut bahawa ia sebagai proses
mengadaptasikan kandungan sesuatu nas kepada sesuatu keperluan. Hukum yang
diijtihadkan itu dapat dicapai, sama ada dengan sangkaan (zan) atau
yakin.
Ijtihad itu pula tidak dilihat dari sudut memahami nas sahaja, tetapi
dilihat ijtihad itu juga dari sudut tanfiz atau
mengadaptasikannya kepada sesuatu kejadian berdasarkan keperluan.
AL-QARADAWI DAN IJTIHAD ADAPTASI
Dalam menghuraikan sunnah Tadarruj, al-Qaradawi
ada menyatakan perbezaan antara pensyariatan
(tasyrik) dan pengadaptasian ini. Beliau
menyatakan seperti berikut;
وعند تجدد
الظروف مماثلة لظروف قيام المجتمع الأول أو قريبة منها , نستطع الأخذ بهذه السنة
الإلهية , و سنة ((التدرج)) إلي أن يأتي
الأوان المناسب للحسم و القطع. وهو تدرج في ((التنفيذ)) و ليس تدرجا في ((
التشريع)) فإن التشريع قد تم و اكتمل بإكمال الدين و إتمام النعمة و إنقطاع الوحي
Maksudnya; “Apabila wujud keadaan baru yang
sama dengan yang pernah wujud pada masa Islam membina masyarakat Islam yang
pertama dahulu atau hampir sama
dengannya, kita boleh menggunakan sunnah tadarruj atau beransur-ansur ini sehingga tibanya waktu
yang sesuai untuk membuat penegasan dan keputusan muktamad. Walau bagaimana
pun, satu perkara yang perlu diperingatkan, sunnah beransur-ansur yang
dimaksudkan di sini ialah sunnah beransur-ansur dalam TANFIZ (perlaksanaan),
bukannya sunnah beransur-ansur dalam TASYRIK (pensyariatan). Ini kerana, pensyariatan
seperti yang kita maklumi sudahpun lengkap dan sempurna dengan sempurnanya
agama, lengkapnya nikmat dan terputusnya wahyu” [Al-Qaradawi, Yusuf.
1426H/2005. Al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidih, hlmn 327,
Kaherah: Maktabah Wahbah : Mustafa Malaikah. 2002. Fi Usul al-Dakwah, Muqtabasatun Min Kutub al-Doktor Yusuf al-Qaradawi.
Terj. Basri bin Ibrahim al-Hasani, hlmn 325, Kuala Lumpur: Perniagaan
Jahabersa, 2002]
Jelas, bahawa al-Qaradawi sendiri ada
menyatakan perbezaan antara Tasyrik (pensyariatan) dan tanfiz (perlaksanaan)
apabila berbicara tentang syariah. Makanya tidak hairan beliau mengemukakan
penilaian beliau dalam mengambil kira tentang perkataan Umar bin Abdul Aziz
ini.
Bukan sekadar itu sahaja, malahan beliau ada
mengemukakan pernyataan tentang pengamalan ijtihad tanfiz (perlaksanaan) ini
bahawa di awal Islam masuk di Farsi, berlaku kesukaran dikalangan
masyarakat Farsi menyebut kalimah arab.
Lalu, Imam Abu Hanifah telah menfatwakan keizinan dan rukhsah membaca surah
al-Fatihah dalam bahasa Farsi. Namun begitu, setelah lidah mereka sudah mampu
menyebut dalam bahasa arab, maka beliau menfatwakan kewajipan membaca surah
al-Fatihah dalam bahasa arab. [Al-Qaradawi, Yusuf. Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidiha, hlmn
293, Kaherah: Maktabah Wahbah, cairo. Tarikh : 2005.]
Juga mendatangkan penyataan bahawa Imam Abu
Hanifah pernah menfatwakan keizinan kehakiman dengan saksi dari kalangan orang
yang adil secara zahir sahaja, iaitu tanpa perlu disiasat keadaan saksi
terlebih dahulu. Pendapat ini bertukar pada zaman Imam Abu Yusuf dan Muhammad,
dengan mensyaratkan perlu memastikan keadilan saksi terlebih dahulu.
Kebanyakkan ulama-ulama dalam mazhab Hanafi menyatakan bahawa perubahan fatwa
antara Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad itu adalah
berfaktorkan zaman dan masa, bukan berfaktorkan hujjah dan pembuktian nas. [Al-Qaradawi, Yusuf. Al-Siyasah
al-Syariyyah fi Dhau' Nusus al-Syariah wa maqasidiha, hlmn 293, Kaherah:
Maktabah Wahbah, cairo. Tarikh : 2005]
PERLAKSANAAN SYARIAH : TASYRIK ATAU TANFIZ?
Memahami ini, sudah pasti kita akan akui bahawa
al-Qaradawi adalah tokoh yang amat mementingkan perlaksanaan syariah. Namun,
dalam ketegasan itu, beliau ada mengungkapkan bahawa kebebasan itu perlu
didahulukan berbanding perlaksanaan syariah. Kerana, beliau melihat
perlaksanaan syariah itu bakal terhasil dengan wujudnya kebebasan[1].
من الواجب
علينا أن نعوِّد الشعوب الإسلامية على قول كلمة الحق، وأن نشيع الحرية بينها
ونطالب بها، فالمطالبة بإطلاق الحريات مقدمة على تطبيق الشريعة. ولا بد من إطلاق
الحريات لكي نطبق الشريعة
Ungkapan beliau ini, bukan bermakna beliau
mengenepikan perlaksanaan syariah dari sudut pensyariatan (tasyrik), tetapi
beliau melihat isu perlaksanaan syariah dalam kerangka tanfiz (perlaksanaan) agar
perlaksanaan tersebut benar-benar mendatangkan kejayaan. Namun, ada pihak yang
gagal memahami dua dimensi ijtihad ini mengkritik beliau, seakan-akan menanggap
beliau seperti tidak mementingkan perlaksanaan syariah, seperti al-Syaikh Ubaid
bin Abdullah bin Sulaiman al-Jabiri, Bekas pensyarah di Jamiah Islamiyyah
Madinah yang menganggap beliau sebagai penyeleweng kepada agama dan menuduh
bahawa ungkapan al-Qaradawi itu sebagai ungkapan kekufuran[2].
Pandangan beliau juga diungkapkan dalam
kerangka yang lebih luas, apabila beliau menyatakan bahawa sebelum perlaksanaan
hukum potong tangan kepada pencuri, sebat seratus rotan kepada penzina dan
sebagainya; bahawa semua itu dilaksanakan selepas pemerintah memberi makan
kepada rakyat yang lapar, sediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang
menganggur, menyediakan pendidikan yang baik dan sebagainya[3].
Ungkapan al-Qaradawi ini, bukan bermakna beliau mengetepikan syariah yang telah
sempurna, tetapi beliau bercakap dalam kerangka tanfiz.
PENUTUP
Menilai pendapat al-Qaradawi tanpa melihat
manhaj berfikir al-Qaradawi merupakan satu kesilapan. Kesilapan menilai itu samaada
melihat pandangan al-Qaradawi dalam kerangka Tasyrik sahaja, ataupun melihat
dalam kerangka tanfiz sahaja. Sebaliknya, pandangan al-Qaradawi itu perlu dinilai
dari skop kedua-duanya sekali.
*Artikle ini sebagai menjawab article : PEMIKIRAN SEBENAR HUDUD MENGIKUT PERSPEKTIF DR. YUSUF QARDAWI DAN KESILAPAN WAN JI
Wallahu ‘Alam.