Wednesday 13 November 2013

[Fiqh 2] PEREMPUAN PAKAI INAI


Bagi orang perempuan, kecantikan merupakan perkara keperluan, sedangkan bagi lelaki kecantikan merupakan perkara tambahan. Bagi orang perempuan, tanpa kecantikan, ia merupakan sesuatu yang menyusahkan, sedangkan bagi lelaki, tanpa kecantikan, ia tidak menyukarkan sepertimana perempuan.

Mengenangkan hal itu, tidak hairan bahawa dalam perbincangan maqasid syariah, kecantikan bagi perempuan dibawah maksud hajiyat, sedangkan bagi lelaki ia sekadar tahsiniyat sahaja.

Ini dapat dilihat dalam keizinan syarak bagi perempuan untuk memakai emas, sedangkan ia diharamkan terhadap orang lelaki; diizinkan kepada orang perempuan memakai rantai leher, sedangkan ia dihalang kepada orang lelaki.

Dalam kes yang lain, keizinan bagi orang perempuan bahawa mereka memakai inai di tangan dan kaki mereka, tetapi ia tidak dibenarkan bagi orang lelaki.

keizinan bagi perempuan itu punyai banyak hadis. Antaranya satu hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi bahawa satu hari, seorang perempuan telah menghulurkan sebuah buku kepada Nabi dari belakang tabir, tetapi nabi tidak ambil, malahan menggegamkan tangannya sahaja.

Ketika itu, nabi saw tidak tahu siapa dibalik tabir. Ekoran itu, nabi saw tidak ambil kerana bimbang ia adalah tangan orang perempuan.

perempuan itu bertanya, "aku hulurkan buku kepadamu, tetapi kamu tidak mengambilnya". Nabi menjawab, "aku tidak tahu, apakah ia tangan lelaki atau perempuan"

kemudiannya Nabi berkata, "kalau kamu perempuan, hendaklah kamu ubah kuku kamu dengan memakai inai" (tarmizi, 5086)

Namun begitu, berinai di tangan dan kaki bagi lelaki adalah dilarang. Larangan adalah merujuk kepada berinai di tangan dan kaki merupakan kecantikan dan cara perhiasan bagi orang perempuan, bukan bagi orang lelaki. Jika dilakukan juga oleh orang lelaki, ia termasuk dibawah maksud menyerupai perempuan.

Dalam hadis ada mempamerkan bahawa Nabi Muhammad melaknat dan mencela terhadap lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan menyerupai lelaki.

Juga disandarkan kepada satu hadis bukhari dan muslim bahawa Nabi saw melarang bagi lelaki memakai za'faran. Larangan itu, imam nawawi menyatakan bahawa kerana  kesamaan menyerupai perempuan, kerana larangan itu tidak pernah tertumpu kepada orang perempuan.

Dalam keadaan begitu pula, lelaki tidak salah memakai inai di rambut, janggut dan seluruh badan mereka kecuali dua tangan dan dua kaki mereka. Ini kerana, tindakan sebegitu tidak menyerupai perempuan pun.

Dalam hadis, Nabi saw pernah menyatakan yang bermaksud, "sebaik-baik kamu ubah uban ini dengan inai"

Namun begitu, larangan itu tidak mutlak, kerana jika dengan cara memakai inai itu boleh mengubat penyakit, maka ia dibenarkan.

Wallahu alam

12 nov 2013 | 6:38 petang | Saujana Utama.

No comments:

Post a Comment